Wednesday, 26 April 2017

BINCANG :SIKAP PEKA IBU BAPA MENJANA KECEMERLANGAN ANAK-ANAK

BINCANG :SIKAP PEKA IBU BAPA MENJANA KECEMERLANGAN ANAK-ANAK

Anak adalah anugerah Illahi yang paling istimewa, mereka ibarat kain putih, ibu bapa adalah orang yang berperanan dalam mencorakkannya…. Saya percaya dan penuh yakin bahawa kepekaan ibu bapa terhadap anak-anak sangat memainkan peranan penting. Kepekaan merujuk kepada keprihatinan terhadap permasalahan, keperluan, keinginan, dan kehendak anak  bagi menjana kecemerlangan mereka.

Dalam mendepani realiti baru era milenium yang pantas berubah dan berkembang ini, anak-anak terdedah dengan pelbagai cabaran, tidak kurang keinginan ibu bapa sendiri untuk melihat anak-anak berjaya dalam bidang yang diceburi.  Malah ada ibu bapa yang sanggup menghantar anak-anak ke sekolah tahfiz, belajar piano, silat dan sebagainya. Walaupun mereka terpaksa menghabiskan ribuan ringgit untuk memenuhi keperluan dunia hari ini.

Yang paling utama dalam menunjukkan kepekaan ibu bapa ialah terapkan disiplin dalam diri. Disiplin dapat melahirkan anak yang mempunyai keinsanan yang syumul. Hal ini demikian, disiplin merupakan asas bagi sesebuah kejayaan. Contohnya, seseorang pelajar atau anak yang ingin berjaya mestilah rajin untuk mengulang kaji pelajaran, bangun awal ke sekolah, membuat semua kerja sekolah yang diberikan dan mematuhi peraturan sekolah. Tanpa disiplin, tidak mungkin seseorang pelajar dapat melakukan perkara-perkara tersebut. Malahan, budaya pesimistik dalam kalangan pelajar mestilah dikikis demi menyambut gamitan menara impian. Tamsilnya, Nik Nur Madihah yang merupakan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2008 mendapat   20 A dalam peperiksaan awam. Beliau tidak menjadikan kemiskinan yang membelenggu hidupnya sebagai batu penarung. Sebaliknya, disebabkan kerajinan, kegigihan, ketekunan dan yang paling perdana iaitu disiplin beliau yang tinggi dan minda yang positif telah menyuntik semangat dirinya untuk menggapai  kejayaan.            

Selain itu, ibu bapa juga perlu lebih peka untuk melahirkan sebuah keluarga sakinah.  dan anak yang cemerlang. Ibu bapa menggalas tanggung jawab yang berat dalam sesebuah institusi keluarga. Jangan sesekali hidangkan anak-anak dengan kemewahan kerana keinginan menunjukkan keprihatinan ibu bapa, hingga sanggup memenuhi keinginan anak secara membabi buta. Tamsilnya saya lebih suka merujuk kepada idola saya iaitu ibu bapa, bagaimana mereka mendidik  saya hingga sampai ke tahap ini. Mereka menyediakan keperluan dunia dan kerohaniaan yang seimbang. Penerapan keagamaan, seperti solat, adab ketika bercakap dengan orang tua atau guru dan cara berpakaian sangat berserdahana. Walaupun saya tahu mereka mampu memberikan lebih kepada saya.  Nilai menghargai apa sahaja yang diperolehi sentiasa terkesan di hati saya.
Bagaimana acuannya, begitulah kuihnya, ibu bapa bukan sahaja perlu mendidik anak-anak, mereka juga perlu menyediakan segala keperluan serta membesarkan anak-anak. Izharnya, ibu bapa juga hendaklah mempunyai disiplin diri untuk mewujudkan sebuah keluarga bahagia dan melahirkan anak yang membudayakan  sifat-sifat  mahmudah dan menghindari segala unsur  mazmumah..
             
Akhirulkalam, Kepekaan ibu bapa merupakan cerucuk utama pembangunan kecemerlangan anak-anak kerana sikap keprihatinan dapat membina disiplin diri yang mampu untuk mengadun satu kombinasi usaha yang cukup padu bagi membina kegemilangan diri, keluarga dan negara. Siapa menyangka bahawa tangan yang menghayun buaian itu boleh menggoncang dunia. Perkara-perkara ini menunjukkan bahawa anak-anak istimewa yang lahir dari orang yang  berdidiplin dan memiliki  minda yang positif ialah orang  yang tidak gentar akan perubahan dan menyesuaikan dirinya dengan perubahan tersebut. Dengan itu, sifat itu dengan sendirinya mampu membina anak yang kreatif dasawarsa ini.  Sekali lagi ditegaskan kepekaan ibu bapa merupakan peranan utama dalam pentas kehidupan dalam melahirkan anak-anak yang cemerlang bukan sahaja di dunia, malah di akhirat.


No comments:

Post a Comment

Johan Tokoh NILAM Daerah Maran (BMSR) -2017 dan

 27 Julai 2017, PKG Bandar Jengka. Sekali lagi anak didikku Muhamad Nazrul (Johan BM SR) Muhammad Hafiz (Naib Johan BM SR). Beliau telah ber...