BINCANG : KEMAJUAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI BANYAK
MENDATANGKAN KEBAIKAN SEKIRANYA PENGGUNA DAPAT MEMANFAATKANNYA.
Sumber asal:
Dalam meniti arus kemodenan, teknologi maklumat dan komunikasi amat
mustahak dalam kalangan masyarakat kini. Terdapat banyak kemajuan dalam
teknologi maklumat dan komunikasi, daripada telefon yang besar kepada telefon
bimbit yang amat nipis dan banyak kegunaan , daripada mencari maklumat di
perpustakaan kepada mendapatkan maklumat daripada Internet. Maklumat kini
semuanya berada di hujung jari sahaja . Sehubungan dengan itu, jelaslah bahawa
terdapat banyak kepentingan teknologi maklumat kepada manusia.
Salah satu daripadanya ialah kecanggihan
teknologi maklumat pada marcapada ini mampu mempercepat kerja kita.Hal ini
terbukti apabila majoriti populasi masyarakat di Malaysia kini mencari bahan
atau sumber maklumat mereka hanya daripada Internet.Mereka tidak mencari bahan
yang mereka perlukan di perpustakaan kerana di situ mereka perlu bersusah payah
mencari buku-buku yang mengandungi maklumat yang mereka inginkan di atas rak
yang disusuni dengan ribuan buku. Masalah ini akan banyak memakan masa mereka.
Sebaliknya, masyarakat modenisasi kini hanya duduk di rumah, di hadapan
komputer mereka dan menekan satu klik sahaja demi mendapatkan maklumat yang
diperlukan oleh mereka. Kecanggihan teknologi maklumat ini jelas sekali dapat
menjimatkan masa di samping dapat mempercepat sesuatu kerja yang dilakukan oleh
mereka.
Kemaslahatan seterusnya, teknologi maklumat dan
komunikasi pada alaf ini dapat membuatkan kita berhubung dan berkomunikasi
dengan orang yang berada jauh daripada kita. Misalnya, seorang anak yang
melanjutkan pelajaran di sebuah universiti yang jauh daripada tempat tinggal
mereka boleh melepaskan kerinduan terhadap ibu bapa mereka dengan hanya
menelefon mereka. Bagi mereka yang melanjutkan pelajaran di luar negara pula,
mungkin caj panggilan telefon amat mahal tetapi mereka boleh mengatasi masalah
itu. Caranya adalah dengan menggunakan kemudahan laman sosial yang semakin
banyak muncul belakangan ini bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Laman sosial
dapat membuatkan mereka berinteraksi dengan kadar yang rendah. Jika rindu untuk
berbual-bual sambil menatap muka mereka, pelajar itu sendiri boleh menggunakan
aplikasi panggilan video. Aplikasi ini boleh didapati dalam laman sosial
seperti ‘Skype’. Dengan adanya kemudahan ini, hubungan kekeluargaan tidak akan
putus walaupun tinggal berjauhan.
Dalam konteks ini, para murid dapat menggunakan
Internet untuk membantu pembelajaran mereka juga antara kepentingan teknologi
maklumat kepada manusia. Senario ini dapat dilihat apabila sudah ada banyak
laman ‘blog’ yang berkaitan dengan sesuatu subjek mengikut sukatan pembelajaran
di sekolah yang memenuhi Internet. Dalam ‘blog’ tersebut, terdapat banyak cara
menjawab soalan peperiksaan dan tips yang diberikan untuk menghafal sesuatu
sukatan pembelajaran. Kebiasaannya, tips-tips ini diberikan sendiri oleh
guru-guru cemerlang yang ada di seantero Malaysia. Rentetan itu, hal ini
akan sedikit sebanyak membantu para murid dalam meningkatkan lagi kefahaman
mereka terhadap sesuatu subjek yang mereka lemah. Hal ini juga akan dapat
membuatkan seseorang murid itu dapat menjawab soalan peperiksaan dengan baik
lantas membolehkan mereka mendapat keputusan yang cemerelang.
Konklusinya, kemajuan teknologi maklumat dan
komunikasi memainkan peranan yang amat mustahak kepada manusia pada hari ini.
Teknologi ini akan terus ditambahbaikkan dari semasa ke semasa supaya kerja
harian manusia akan menjadi lebih mudah. Oleh itu, kita tidak boleh ketinggalan
dalam kemajuan teknologi maklumat. Kita hendaklah sentiasa mengikuti
perkembangan semasa agar negara dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah
dengan negara-negara maju lain.
No comments:
Post a Comment