TEMA :
KEKELUARGAAN
TAJUK: KASIH
SAYANG AMAT PENTING
DALAM MENJAMIN KEUTUHAN SESEBUAH KELUARGA. HURAIKAN
Kasih sayang serta perhatian
merupakan suatu perkara yang dapat melembutkan hati remaja untuk melakukan
perbuatan yang baik serta menghindari perbuatan negatif Anggota keluarga
perlulah member kasih sayang serta tidak mengabaikan anak-anak mereka. Ibu bapa
tidak boleh bersikap pilih kasih atau melebih- lebihkan anak yang lain. Hal ini
akan mendorong hati remaja yang rapuh mencari perhatian di tempat lain dengan
mengamalkan pergaulan bebas.
Anggota keluarga perlulah
menjadikan abak-anak mereka berasa diri mereka dikasihi sehingga tidak sampai
hati melukakan hati ahli keluarga mereka dengan melakukan perbuatan negatif.
Perhatian yang diberikan oleh ahli keluarga akan mematahkan niat anak-anak
untuk mencari keseronokan di luar. Tamsilnya, ahli keluarga boleh
melakukan aktiviti bersama-sama di samping dapat meluangkan masa untuk anggota
keluarga yang lain. Aktiviti seperti bercuti, berkelah dan berkebun boleh
dilakukan dengan kekerapan yang konsisten
dan bukan setahun sekali.
Didikan agama juga merupakan salah satu aspek penting yang harus diajarkan kepada anak-anak supaya mereka menjadi individu yang lebih baik.
Didikan agama juga merupakan salah satu aspek penting yang harus diajarkan kepada anak-anak supaya mereka menjadi individu yang lebih baik.
Setiap agama
mengajarkan penganutnya supaya melakukan kebaikan. Jika utuh agama seseorang
itu, nescaya utuh juga hatinya dan perbuatan negatif dapat dihindari.Solat
merupakan tiang agama dan agama merupakan pegangan hidup. Ibu bapa perlu
menitikberatkan soal agama dan member didikan agama yang cukup kepada anak-anak
mereka. Mereka perlu dididik
sejak kecil supaya pegangan agama dan prinsip mereka akan berkekalan sampai
bila-bila seperti kata pepatah , melentur buluh biarlah dari rebungnya. Berbekalkan
agama yang kukuh, remaja akan tetap terus memegang prinsipnya dan tidak
sesekali terpengaruh dengan budaya negatif pada masa ini.
Anggota
keluarga juga perlu menunjukkan contoh serta teladan yang baik kepada
anak-anak. Kita sering mendengar peribahasa mengatakan, ke mana tumpahnya kuah
kalau tidak ke nasi. Peribahasa ini jelas
menggambarkan bahawa perlakuan anak- anak dipengaruhi oleh ibu bapa serta
anggota keluarga yang lain. Anggota keluarga perlulah bersikap positif dan
tidak menunjukkan sikap negatif terutamanya di hadapan anak-anak. Sebagai contoh, apabila seorang bapa merokok di
hadapan anaknya, hal ini demikian dapat meningkatkan keinginan anak untuk
mencuba dan meniru apa-apa yang dilakukan oleh bapanya. Pada awalnya, mungkin
perbuatan itu sekadar ingin dicuba dan semakin hari perbuatan itu sudah menjadi
kebiasaan dan akhirnya anak-anak menjerumuskan diri dalam penagihan dadah.
Peranan
ahli keluarga yang seterusnya dalam menangani isu ini adalah dengan memberikan
sokongan moral kepada anggota keluarga yang lain. Sokongan
harus diberikan kepada apa-apa jua bidang atau perkara baik yang ingin
dilakukan oleh remaja. Hal ini demikian dapat meningkatkan jati diri serta
nilai murni yang terdapat dalam diri seseorang remaja. Sebagai anggota
keluarga, kita mestilah memberikan sokongan yang penuh kepada ahli keluarga
kita yang lain supaya mereka tahu bahawa mereka sepatutnya melakukan kebaikan,
bukan kejahatan.
Sebagai
pengitlakan, banyak
pihak berperanan dalam menangani masalah gejala negatif remaja pada masa ini.
Namun demikian, peranan dan tanggungjawab keluarga merupakan perkara yang
paling penting dan harus diutamakan bagi mengatasi kekangan ini. Institusi
keluarga yang kukuh akan mempengaruhi pemikiran serta perlakuan anak-anak
khususnya anak yang sedang meningkat remaja. Anggota keluarga perlu mengambil berat dan memainkan peranan
serta tanggungjawab agar negara dapat menghasilkan generasi yang berkualiti dan
bebas daripada perbuatan negatif.
...............................................................................................................................
...............................................................................................................................
PERANAN IBU BAPA MEMBENTUK MASYARAKAT PENYAYANG
Dewasa ini, semakin hari, semangat sayang-menyayangi dalam masyarakat semakin terhakis ditelan arus pemodenan dan kemajuan negara. Hal ini terbukti apabila saban hari kita dihidangkan dengan pelbagai kejadian jenayah seperti kes pembunuhan, ragut, rogol serta kes pembuangan bayi yang tidak berdosa. Kejadian-kejadian tersebut sekali gus memadamkan semangat sayang-menyayangi dalam masyarakat antaranya sikap mengambil berat, prihatin dan saling-menghormati dalam masyarakat. Hal ini demikian kerana masyarakat penyayang hanya dapat dibentuk melalui persaan saling-menyayangi dan menghormati sesama ahli keluarga yang merupakan asas kepada pembentukan masyarakat. Ibu bapa mempunyai peranan besar dalam melahirkan individu yang penyayang sekali gus mewujudkan masyarakat yang penyayang di nusa tercinta ini.
Ibu bapa berperanan memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak. Kehidupan anak-anak harus diisi dengan kasih sayang oleh ibu bapa dengan menyemai sikap penyayang dalam diri anak-anak sejak kecil lagi seperti kata peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sifat kasih sayang yang dipupuk sejak kecil akan lebih mudah terlaksana malah akan terus sebati dalam diri anak-anak apabila mereka dewasa. Dalam hal ini, kehadiran ibu bapa amat penting dalam tempoh anak-anak membesar. Sebagai contoh, ibu bapa harus sentiasa berada di samping anak-anak semasa mereka dalam kekecewaan seperti gagal dalam peperiksaan untuk menenangkan hati dan sanubari mereka. Sekiranya, hal ini diberikan perhatian oleh ibu bapa maka anak-anak akan berasa dihargai dan masalah yang mereka alami akan dapat diselesaikan melalui pertolongan ahli keluarga. Tegasnya, ibu bapa harus sedia melapangkan waktu untuk mencurahkan kasih sayang kepada anak kerana ibu bapa merupakan insan terhampir dengan diri anak-anak.
Selain itu, didikan agama juga perlu untuk melahirkan masyarakat yang penyayang di negara kita. Hal ini demikian kerana tidak ada agama yang diturunkan oleh Allah s.w.t yang mengajar penganutnya bersikap kasar dan ganas kepada individu lain apatah lagi dalam kalangan ahli keluarga sendiri. Sehubungan dengan itu, ibu bapa seharusnya mengajar anak-anak mereka mendalami ilmu agama dan mendekatkan diri kepada Tuhan. Contoh amalan yang boleh diajar kepada anak-anak adalah menunaikan solat fardhu, membaca Al-Quran dan berzikir. Bagi penganut-penganut agama lain, ibu bapa perlu selalu mengajak anak-anak mereka ke rumah ibadat. Ibu bapa juga boleh menceritakan pada anak-anak, kisah teladan akan kebaikan mengamalkan nilai kasih sayang dalam kehidupan hatta bersikap kasih sayang kepada binatang. Amalan-amalan ini akan melembutkan hati dan mententeramkan jiwa serta melahirkan anak-anak yang bersahsiah mulia. Sifat ini akan menjadi darah daging dalam diri anak-anak dan mendorong mereka untuk berperi laku baik seterusnya sentiasa menyayangi keluarga. Oleh itu, tidak dapat dinafikan lagi didikan agama yang secukupnya amat penting dalam melahirkan individu penyayang.
Di samping itu, ibu bapa juga haruslah menunjukkan nilai-nilai yang baik kepada anak-anak mereka. Ibu bapa mestilah menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka dan tidak bersikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul. Hal ini demikian menunjukkan keperibadian anak-anak mencerminkan perwatakan ibu bapa mereka. Banyak nilai baik yang boleh ditunjukkan kepada anak-anak. Sebagai contohnya, ibu bapa mengamalkan semangat kejiranan yang tinggi. Antaranya, mereka perlu melibatkan diri dalam aktiviti gotong-royong, menziarahi jiran yang sakit serta dilanda musibah. Ibu bapa janganlah sekali-kali menunjukkkan sikap zalim dan menindas atau menipu orang lain khususnya di hadapan anak-anak. Nilai-nilai baik ini akan menjadi ikutan kepada anak-anak. Jelas bahawa, semangat hormat-menghormati, bekerjasama dan saling-membantu dalam masyarakat akhirnya membentuk sifat penyayang dalam diri anak-anak yang juga merupakan ahli masyarakat.
Seterusnya, keadaan keluarga yang stabil dari segi fizikal dan rohani juga amat perlu bagi melahirkan individu dan masyarakat yang penyayang. Ibu bapa mempunyai peranan besar dalam membentuk keluarga yang stabil. Keluarga yang stabil dari segi fizikal ialah keluarga cukup dari segi kewangan serta mampu menyediakan segala kemudahan dan keperluan hidup berumah tangga. Manakala keluarga yang stabil dari segi rohani ialah keluarga yang saling-menyayangi , hormat-menghormati serta saling-membantu. Sekiranya kedua-duanya dapat dipenuhi oleh ibu bapa maka anak-anak akan hidup dalam keadaan tenang dan harmonis tanpa mengalami sebarang tekanan. Mereka akan lebih terpaut hati untuk berkongsi masalah dengan ibu bapa berbanding menceritakan masalah yang dihadapi dengan rakan yang kurang dikenali hati budinya. Di samping itu juga, ibu bapa harus memastikan hubungan kekeluargaan sesama ahli keluarga erat bagi melahirkan keluarga yang penyayang. Hubungan yang renggang dalam kalangan ahli keluarga menyebabkan anak-anak akan mencari ‘kasih sayang’ di luar rumah yang akhirnya akan menjahanam dan memusnahkan kehidupan mereka.
Masyarakat penyayang juga dapat dilahirkan melalui hubungan baik dengan masyarakat sekeliling. Ibu bapa harus mendekatkan anak-anak dengan masyarakat setempat bagi mewujudkan hubungan baik dengan masyarakat. Sebagai contoh, ibu bapa boleh mengajak anak-anak untuk menyertai gotong-royong di kawasan tempat tinggal atau solat berjemaah di surau atau masjid. Ibu bapa juga perlu memberikan kesedaran kepada anak-anak mereka akan peri pentingnya nilai kasih sayang dalam kehidupan khususnya semasa berinteraksi dengan masyarakat pelbagai kaum. Dengan menjadikan negara-negara lain sebagai contoh dan teladan seperti perang saudara yang berlaku di Somalia ditambah lagi dengan kebuluran yang berlaku, anak-anak dapat diajar tentang kepentingan amalan kasih sayang. Melalui kasih sayanglah pelbagai bantuan dihulurkan oleh masyarakat antarabangsa kepada negara-negara yang ditimpa bencana seperti bencana Tsunami yang berlaku di Jepun baru-baru ini. Jelas bahawa, hubungan silaturahim yang erat dapat melahirkan individu dan masyarakat yang penyayang.
Konklusinya, ibu bapa berperanan besar dalam melahirkan individu dan sekali gus masyarakat yang penyayang di negara kita. Oleh itu, ibu bapa harus meningkatkan peranan mereka semaksimum mungkin, namun dalam masa yang sama tidak mengamalkan sikap pilih bulu antara anak-anak. Apa yang diharapkan oleh semua orang ialah amalan kasih sayang yang berjaya dipraktikkkan akan mampu mewujudkan masyarakat yang sejahtera. Ingatlah!, individu yang penyayang akan mewujudkan keluarga cemerlang seterusnya melahirkan masyarakat serta bangsa yang terbilang.
No comments:
Post a Comment