PERBINCANGAN : KEMAJUAN
TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI BANYAK MENDATANGKAN KEBAIKAN SEKIRANYA
PEMGGUNA DAPAT MEMANFAATKANNYA.
Sumber asal:
Dalam meniti arus kemodenan,
teknologi maklumat dan komunikasi amat mustahak dalam kalangan masyarakat kini.
Terdapat banyak kemajuan dalam teknologi maklumat dan komunikasi, daripada
telefon yang besar kepada telefon bimbit yang amat nipis dan banyak kegunaan ,
daripada mencari maklumat di perpustakaan kepada mendapatkan maklumat daripada
Internet. Maklumat kini semuanya berada di hujung jari sahaja . Sehubungan
dengan itu, jelaslah bahawa terdapat banyak kepentingan teknologi maklumat
kepada manusia.
Salah
satu daripadanya ialah kecanggihan teknologi maklumat pada marcapada ini mampu
mempercepat kerja kita.Hal ini terbukti apabila majoriti populasi masyarakat di
Malaysia kini mencari bahan atau sumber maklumat mereka hanya daripada Internet.Mereka
tidak mencari bahan yang mereka perlukan di perpustakaan kerana di situ mereka
perlu bersusah payah mencari buku-buku yang mengandungi maklumat yang mereka
inginkan di atas rak yang disusuni dengan ribuan buku. Masalah ini akan banyak
memakan masa mereka. Sebaliknya, masyarakat modenisasi kini hanya duduk di
rumah, di hadapan komputer mereka dan menekan satu klik sahaja demi mendapatkan
maklumat yang diperlukan oleh mereka. Kecanggihan teknologi maklumat ini jelas
sekali dapat menjimatkan masa di samping dapat mempercepat sesuatu kerja yang
dilakukan oleh mereka.
Kemaslahatan seterusnya, teknologi maklumat dan komunikasi pada alaf ini dapat
membuatkan kita berhubung dan berkomunikasi dengan orang yang berada jauh
daripada kita. Misalnya, seorang anak yang melanjutkan pelajaran di sebuah
universiti yang jauh daripada tempat tinggal mereka boleh melepaskan kerinduan
terhadap ibu bapa mereka dengan hanya menelefon mereka. Bagi mereka yang
melanjutkan pelajaran di luar negara pula, mungkin caj panggilan telefon amat
mahal tetapi mereka boleh mengatasi masalah itu. Caranya adalah dengan
menggunakan kemudahan laman sosial yang semakin banyak muncul belakangan ini
bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Laman sosial dapat membuatkan mereka
berinteraksi dengan kadar yang rendah. Jika rindu untuk berbual-bual sambil
menatap muka mereka, pelajar itu sendiri boleh menggunakan aplikasi panggilan
video. Aplikasi ini boleh didapati dalam laman sosial seperti ‘Skype’. Dengan
adanya kemudahan ini, hubungan kekeluargaan tidak akan putus walaupun tinggal
berjauhan.
Dalam
konteks ini, para murid dapat menggunakan Internet untuk membantu pembelajaran
mereka juga antara kepentingan teknologi maklumat kepada manusia. Senario ini
dapat dilihat apabila sudah ada banyak laman ‘blog’ yang berkaitan dengan
sesuatu subjek mengikut sukatan pembelajaran di sekolah yang memenuhi Internet.
Dalam ‘blog’ tersebut, terdapat banyak cara menjawab soalan peperiksaan dan
tips yang diberikan untuk menghafal sesuatu sukatan pembelajaran. Kebiasaannya,
tips-tips ini diberikan sendiri oleh guru-guru cemerlang yang ada di
seantero Malaysia. Rentetan itu, hal ini akan sedikit sebanyak membantu para
murid dalam meningkatkan lagi kefahaman mereka terhadap sesuatu subjek yang
mereka lemah. Hal ini juga akan dapat membuatkan seseorang murid itu dapat
menjawab soalan peperiksaan dengan baik lantas membolehkan mereka mendapat
keputusan yang cemerelang.
Konklusinya, kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi memainkan peranan yang
amat mustahak kepada manusia pada hari ini. Teknologi ini akan terus
ditambahbaikkan dari semasa ke semasa supaya kerja harian manusia akan menjadi
lebih mudah. Oleh itu, kita tidak boleh ketinggalan dalam kemajuan teknologi
maklumat. Kita hendaklah sentiasa mengikuti perkembangan semasa agar negara
dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju lain.
No comments:
Post a Comment