Monday, 24 April 2017

KES PENDERAAN TERHADAP KANAK-KANAK ( STOP CHILD ABUSE ! )


Pengenalan
Zaman yang penuh pembangunan ini, masyarakat kini semakin rakus megejar kebendaan dan semakin mengabaikan sikap prihatin terhadap masyarakat yang lain. Mereka kini sudah menetapkan sifat persaingan antara masyarakat kini sangat penting untuk menjadi yang terbaik dan mendapat kehidupan yang baik. Bak kata mutiara oleh Sydney Charles Buxton ‘kehidupan ini seperti permainan catur, siapa yang memandang jauh ke depan dialah yang menang’. Sesetengah ibubapa yang terlalu mementingkan pekerjaan sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak. Memang tidak dapat dinafikan bahawa kanak- kanak itu seperti kain putih. Dia dilahirkan dalam keadaan bersih dan tidak berdosa, dan kedua- dua ibu bapa merupakan pihak yang merupakan pihak yang bertanggungjawab untuk mencorakkan kain putih tersebut. Ini menunjukkan peranan ibubapa yang begitu afdal dalam menentukan anak yang dilahirkan menjadi insan yang sempurna. Si anak perlulah diberi kasih sayang yang secukupnya, mereka haruslah dibelai, didodoi, dan diberi segenap perhatian. Walau bagaimanapun, apa yang berlaku, harapkan pagar dan pagar makan padi. Pada hakikatnya, kenyataan ini mempunyai kebenarannya. Ini terbukti apabila sesetengah ibu bapa terlibat dalam penderaan kanak- kanak. Jika tidak diselak dada akhbar sesekali kita akan digemparkan dengan berita penderaan kanak-kanak yang sering dipaparkan di dada akhbar yang kini menjadi bualan hangat dari bibir ke bibir seantero rakyat Malaysia mengenai kes penderaan kanak- kanak yang semakin mencatatkan angka yang membimbangkan. Bagaikan cendawan tumbuh selepas selepas hujan. Media massa tidak pernah terlepas daripada memaparkan isu penderaan yang sering dilakukan oleh ibu bapa kandung anak itu sendiri. Persoalannya, mengapakah fenomena negatif ini berlaku? Adakah ibu bapa telah melupakan tanggungjawab mereka dalam mencorakkan kain putih tersebut? Kita semua haruslah mengkaji masalah ini secara mendalam dan berusaha dengan giat bagi mengatasi masalah yang semakin kronik dan melarat ini dengan konsep jika tiada angin yang bertiup masakan pokok akan bergoyang dan keyakinan bahawa setiap penyakit pasti ada penawarnya.
Faktor- faktor Berlakunya Penderaan Kanak- kanak
1.1    Kurang Pendidikan Agama
Terdapat pelbagai faktor berlakunya penderaan kanak- kanak antaranya, ialah pendidikan agama yang kurang dalam kalangan ibu bapa. Memang tidak dinafikan bahawa kebanyakan ibu bapa ada memperoleh didikan agama. Walau bagaimanapun, tidak ramai dalam kalangan ibu bapa yang mengamalkan ajaran agama mereka. Keimanan ibu bapa pula akan menjadi tidak utuh akibat daripada penghayatan agama yang tidak kuat. Jika penghayatan agama kuat, tidak mungkin ibu bapa akan berkelakuan bagai haruan makan anak dan sanggup mendera darah daging sendiri. Sebagai orang dewasa, ibu bapa perlulah berfikir dengan alasan dan bukti yang nyata dan haruslah mencurahkan kasih saying dan perhatian yang sewajarnya terhadap anak-anak dan bukannya melepaskan geram kepada mereka. Kajian menunjukkan mereka yang sanggup mendera darah daging sendiri merupakan pasangan muda. Hal ini demikian kerana, pasangan muda menganggap bahawa hidup mereka masih remaja dan tidak berfikir secara logik ataupun rasional. Selain itu, mereka pun belum bersedia untuk memikul dan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa. Di samping itu, orang muda sering berdarah panas dan mudah naik marah dengan kesalahan-kesalahan kecil yang dilakukan oleh anak-anak seperti merosakkan harta benda rumah, menangis sepanjang waktu, menconteng buku, dan sebagainya. Ini menyebabkan kesabaran ibu bapa mula cair dan anak- anak pula akan menjadi sasaran kemarahan ibu bapa. Oleh sebab itu, ibu bapa perlulah mendidik anak- anak mereka tentang agama sejak kecil dan mengaplikasikan setiap ajaran agama dalam kehidupan seharian. Bak kata pepatah, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Sebagai manusia yang bertamadun dan mempunyai akal fikiran, kita seharusnya dapat membezakan perkara yang baik dan buruk. Mendera kanak- kanak adalah perbuatan yang salah kerana kanak-kanak merupakan amanah yang dititipkan oleh Tuhan kepada kita untuk meneruskan generasi. Sebagai ibu bapa, kita seharusnya bersyukur dikurniakan anak bukannya mendera mereka. Dengan ini saya ingin menegaskan bahawa pendidikan agama yang sempurna amat penting dalam menangani permasalahan ini.
1.2    Masalah Dalaman Sesebuah Keluarga
Selain itu, masalah dalaman sesebuah keluarga juga menjadi antara faktor berlakunya penderaan kanak- kanak. Kajian menunjukkan penderaan sering dilakukan oleh orang yang berdekatan atau mempunyai pertalian darah dengan anak-anak yang menjadi mangsa. Contohnya, pihak yang biasanya menjadi titik permulaan kepada penderaan kanak- kanak termasuklah ibu bapa, ayah dan ibu tiri, ataupun ibu dan bapa saudara. Dalam banyak kes, penderaan dilakukan oleh ibu bapa yang menghadapi konflik kekeluargaan seperti hubungan yang rapuh antara suami dan isteri akibat daripada campur tangan pihak ketiga. Apabila keadaan ini berlaku, produktiviti tehadap kerja ibu bapa tentulah akan merosot. Mereka seterusnya akan diberi tekanan oleh majikan supaya meningkatkan produktiviti kerja. Kalau tidak, ibu bapa akan menghadapi risiko untuk dipecat oleh majikan. Dalam perjalanan pulang ke rumah pula, ibu bapa terpaksa menghadapi masalah kesesakan jalan raya yang akan menambahkan lagi ketegangan mereka. Apabila sampai di rumah pula, ibu bapa terpaksa menghadapi karenah anak- anak yang selalunya menginginkan perhatian dan kasih saying daripada ibu bapa. Semua masalah yang bertali arus ini amat menekan perasaan. Keadaan ini menjadi lebih serius apabila ditambah dengan harga minyak belakangan ini yang menyebabkan kos kehidupan semakin tinggi. Apabila tertekan, ibu bapa pula akan menjadikan anak- anak sebagai tempat melepaskan geram dan anak- anak didera. Hal ini dapat saya tegaskan bahawa salah satu punca berlakunya gejala ini ini adalah disebabkan oleh masalah dalaman yang dihadapi oleh sesebuah keluarga.
1.3    Sejarah Hitam Ibu bapa pada Masa Kecil
Seterusnya, sejarah hitam ibu bapa pada masa kecil juga menjadi satu punca penderaan kanak-kanak. Kajian menunjukkan bahawa penderaan kanak-kanak sering dilakukan oleh orang yang pernah menjadi mangsa penderaan semasa mereka dalam alam kanak-kanak dahulu. Keadaan ini berlaku kerana ibu bapa beranggapan bahawa mereka pernah menjadi mangsa penderaan dan anak- anak mereka pun patut mengalami kesakitan dan penderitaan yang pernah dialami oleh mereka. Biasanya, keadaan ini akan berlaku kerana ibu bapa mengalami penyakit mental dan mempunyai emosi yang tidak stabil. Penderaan yang berterusan pada peringkat umur yang rendah sememangnya akan meninggalkan kesan trauma yang mendalam dalam jiwa anak-anak. Di samping itu, ibu bapa juga berpendapat mereka dapat memuaskan diri dari segi psikologi apabila mendera anak-anak. Semua ini telah menyebabkan titik permulaan di mana si anak akan dimarahi, ditengking dan tidak dihiraukan ataupun dipedulikan. Keadaan ini akan menjadi konflik apabila ibu bapa mengamalkan salah guna bahan berbahaya seperti dadah dan minuman keras untuk mencari ketenangan. Apabila ibu bapa berada dalam keadaan mabuk akibat minuman beralkohol atau berkhayal akibat penyalahgunaan dadah, mereka tidak akan menyedari perbuatan mereka sendiri apabila mendera anak- anak mereka. Anak merupakan anugerah Tuhan yang tidak ternilai harganya. Adalah menjadi tanggungjawab setiap insan menjaga dan membimbing anak tersebut kea rah yang benar. Dengan ini dapat saya tegaskan bahawa sejarah hitam yang dialami oleh ibu bapa sejak kecil adalah salah satu punca berlakunya penderaan terhadap kanak- kanak.
1.4    Masalah Kesempitan Wang Yang Dihadapi oleh Sesebuah Keluarga
Dalam pada itu, kesempitan hidup yang dihadapi oleh sesebuah keluarga juga menjadi antara faktor berlakunya penderaan kanak-kanak. Ini kerana ibu bapa tidak mampu menanggung perbelanjaan membesarkan si anak dan terpaksa menyerahkan anak kepada orang lain, misalnya saudara terdekat untuk menjaga dan membesarkannya dengan janji akan memberikan kadar upah wang yang tertentu pada setiap bulan. Maka, saudara tersebut pula berjanji untuk menjaga si anak dengan harapan akan mendapat upah wang seperti yang dijanjikan pada setiap bulan. Walau bagaimanapun, apabila ibu bapa gagal untuk memberi upah wang seperti yang dijanjikan, maka saudara yang tidak memberi pertimbangan pula akan menyebabkan si anak menghadapi akibatnya. Kadang-kala, penjaga akan memukul si anak dengan tali pinggang, mencucuk si anak dengan puntung rokok ataupun membiarkan si anak dalam keadaan kelaparan. Yang menyedihkan lagi , terdapat sesetengah penjaga akan mengejutkan masyarakat apabila si anak tersebut dianiaya melalui keganasan seksual. Apabila si anak bertemu dengan ibu bapa semula, ibu bapa yang prihatin akan mendapati bahawa tubuh si anak menjadi lebam dan lemah dan seterusnya akan melaporkan kejadian ini kepada pihak polis. Walau bagaimanapun, sesetengah ibu bapa pula tidak mempedulikan hal ini kerana tidak mahu menjejaskan hubungan kekeluargaan antara mereka dengan saudara mereka. Tambahan pula, masalah kewangan yang melanda sesebuah keluarga akan menyebabkan mereka bertindak ganas terhadap anak-anak. Jika anak-anak meminta duit belanja atau keperluan lain, sudah semestinya anak tersebut akan menjadi mangsa sepak terajang mereka. Di samping itu, ada juga ibu bapa yang mendera anak-anak mereka kerana krisis rumah tangga yang berlaku seperti pergaduhan antara suami isteri dan mungkin disebabkan gangguan pihak luar. Contohnya, suami akan menjadi lebih garang dan mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga kerana mempunyai kekasih baru. Hasilnya pergaduhan antara suami isteri sering berlaku dan anak-anak pastinya menjadi mangsa pergaduhan. Tegasnya disini, masalah kesempitan wang sedikit sebanyak menyumbang berlakunya kes penderaan kanak-kanak.
1.5    Tekanan yang Dialami oleh Ibu bapa
Setiap perkara yang berlaku mesti ada sebab musababnya. Begitulah juga dengan gejala penderaan kanak-kanak yang berpunca daripada institusi kekeluargaan yang lemah. Hal ini berlaku demikian kerana pada era globalisasi ini, ramai ibu bapa yang sibuk dengan kerjaya masing-masing sehingga mengundang tekanan dalam diri mereka. Sehubungan dengan itu, ibu bapa yang mengalami tekanan tidak akan dapat memberikan layanan serta kasih sayang yang sepatutnya diterima oleh anak-anak mereka. Tamsilnya, ibu bapa yang tidak dapat mengawal emosi mereka akan menjadikan anak- anak sebagai medium melepaskan geram dan tekanan yang dihadapi. . Hal ini tercetus apabila individu ini tidak dapat menyelesaikan masalah yang mereka hadapi dengan berkesan. Dengan ini, individu tersebut akan melepaskan perasaan geram dan kemarahan mereka dengan melakukan penderaan terhadap mereka yang lemah. Sebagai contoh, individu ini akan memukul anak-anak mereka sehingga menimbulkan kecederaan yang serius kepada mereka. Justeru, setiap individu perlu belajar mengawal emosi walaupun berdepan dengan tekanan yang hebat dalam kehidupan seharian, bak kata pepatah ‘ikut hati mati, ikut rasa binasa’. Rentetan hal ini, nilai kasih sayang haruslah disemai dalam setiap institusi kekeluargaan agar keluarga menjadi lebih harmoni dan sekaligus mencegah gejala penderaan terhadap anak-anak. Selain itu, kes penderaan kanak-kanak turut ditunjangi oleh faktor tekanan ekonomi yang dihadapi oleh para orang tua. Kos hidup yang semakin meningkat pada masa ini, memaksa golongan ini berhutang demi memastikan kelangsungan hidup seisi keluarga. Masalah yang kewangan sering berlaku menyebabkan para ibu bapa berasa terbeban. Semua ini dilepaskan kepada sang kecil yang saat itu membutuhkan kasih sayang daripada kedua-dua insan mulia ini. Keadaan ini pasti menyedihkan sesiapa sahaja yang mendengar kes penderaan ini. Anak yang sepatutnya diberi perlindungan dan dibelai oleh ibu bapa, kini menjadi alat untuk melepaskan kemarahan mereka yang terbeban dengan krisis kewangan yang dihadapi. Patutkah anak- anak yang tidak berdosa ini diperlakukan seperti binatang? Tepuk dada tanya selera. Tuntasnya, jelaslah bahawa kes penderaan kanak- kanak ini berlaku akibat daripada tekanan yang dihadapi oleh ibu bapa di luar rumah sama ada khususnya di tempat kerja.
1.6    Faktor Media Massa
Di samping itu, media massa juga mempengaruhi pemikiran setiap lapisan masyarakat pada masa kini. Media massa yang berunsurkan aksi ganas kerap kali dapat kita saksikan di kaca televisyen seperti rancangan ‘WWE’ dan filem-filem yang berunsurkan pergaduhan seperti ‘Crows Zero’. Aksi-aksi yang di paparkan ini akan memanipulasikan pemikiran dan mengubah seseorang individu menjadi ganas. Secara tidak langsung , ibu atau bapa yang berasa sukar untuk mendidik anak-anak akan menggunakan kekerasan untuk mendidik anak-anak. Setiap aksi ganas yang telah mereka saksikan akan digunakan untuk mendidik anak-anak tanpa memikirkan kesan negative perbuatan tersebut. Tanpa mereka ketahui, perbuatan tersebut merupakan penderaan bagi kanak-kanak. Sebagai ibu bapa kepada anak-anak perlulah belajar tentang cara-cara untuk mendidik anak-anak supaya tidak menyakiti anak-anak yang tidak bersalah malah mereka memerlukan bimbingan daripada ibu bapa.
1.7    Penguatkuasaan Undang- undang Yang Lemah
Sementelahan itu, penguatkuasaan undang-undang yang lemah tidak akan dapat membanteraskan kes penderaan kanak-kanak ini. Sebagai negara yang berdemokrasi parlimen dan mempunyai undang-undang, pihak yang bertanggungjawab seharusnya mengambil tindakan yang sewajarnya sejajar dengan undang-undang yang telah ditetapkan. Ibu bapa atau penjaga yang mendera kanak-kanak sepatutnya diberikan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang telah dilakukan. Ibu bapa seharusnya sedar bahawa anak-anak bukanlah boneka yang tidak bernyawa dan boleh diperlakukan seperti boneka yang tidak bernyawa. Apabila sudah menyesal atas perbuatan yang telah dilakukan, nyawa anak sudahpun menghilang dan tidak dapat dikembalikan. Bak kata pepatah ‘nasi sudah menjadi bubur’.
1.8    Sikap Masyarakat Yang Mementingkan Diri Sendiri
Di samping itu, kes penderaan kanak-kanak-kanak juga semakin berleluasa kerana masyarakat tidak cakna dan hanya mementingkan diri sahaja. Hal ini berlaku demikian kerana tiada jalinan perhubungan yang kukuh antara komuniti setempat. Dengan ini, kes penderaan terus berlaku tanpa apa-apa tindakan yang wajar untuk mencegahnya. Sebagai contoh, ketika berlakunya sesuatu kes penderaan di rumah jiran mereka, jiran tetangga hanya membiarkan perkara tersebut berlaku tanpa bertindak untuk mencegahnya seperti kata pepatah, ‘Enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’.Oleh itu, masyarakat perlulah memainkan peranan yang aktif bagi menangani isu penderaan ini agar tidak berlarutan.
Kesan- kesan Berlakunya Kes Penderaan Kanak –kanak.
Terdapat pelbagai kesan-kesan yang akan berlaku akibat kes-kes penderaan. Kesan-kesan ini terbahagi kepada dua; iaitu kesan terhadap pendera dan terhadap mangsa penderaan.
3.1   Pendera
Jika dilihat daripada kesan terhadap pendera, pendera berkemungkinan akan bertindak dengan lebih agresif dari semasa ke semasa. Hal ini kerana tindakannya dalam kes-kes penderaan yang dilakukannya terdahulu tidak mengakibatkan kesan yang buruk ke atas dirinya. Jadi, tidak mustahil pendera akan menjadi jauh lebih agresif dan tidak lagi mengenal mangsanya. Pendera juga berkemungkinan merasa tekana emosinya hanya dapat dilepaskan dengan melakukan keganasan ke atas individu lain, oleh itu menyebabkan dirinya lebih cenderung untuk melakukan penderaan berulang-ulang kali.  Selain itu, ini juga mengakibatkan pendera lebih cenderung untuk melakukan kes-kes penderaan yang lebih agresif dan melibatkan lebih ramai mangsa, dan merebak ke dalam masyarakat.
3.2    Mangsa Penderaan
Kesan-kesan yang bakal dihadapi oleh mangsa penderaan terbahagi kepada dua iaitu kesan dari aspek fizikal dan mental.
3.2.1 Fizikal
Manakala kesan yang lebih negatif akan dirasai oleh mangsa penderaan tersebut.  Implikasi penderaan kanak-kanak umumnya dapat dilihat dengan jelas melalui kecederaan pada anggota fizikal mereka. Luka di kepala, badan dan muka akan memberi kesan yang tidak baik khususnya terhadap masa depan mereka apabila meningkat dewasa kelak. Hal ini secara tidak langsung akan mengundang berlakunya kecacatan fizikal sama ada serius atau tidak. Malahan ada sesetengah kes penderaan yang meragut nyawa mangsa itu sendiri. Contohnya anak kepada pengerusi MIC S Karrigalan, 42 telah meninggal dunia akibat didera oleh jirannya pada 3 mac lalu. Selain itu, kerencatan otak juga boleh berlaku akibat hentakan di kepala oleh benda-benda keras.
3.2.2 Mental
Deraan merupakan satu paksaan yang diterima oleh kanak-kanak dan mereka tidak dapat membantah.Keadaan ini merupakan satu seksaan ataupenindasan. Ibu bapa perlu sedar jika terlalu memaksa anak-anak, ini akan menjejaskan perkembangan emosi mereka. Sehubungan dengan itu, mangsa akan menerima tekanan emosi yang mendalam yang akan mempengaruhi kehidupannya sehari-harian kerana hilang kepercayaan ke atas dirinya sendiri. Sebagai contoh, mangsa akan menjadi lebih penakut untuk menghadapi masyarakat kerana trauma akan perlakuan penderaan ke atasnya. Selain itu, hukuman deraan rotan seperti merotan dan memukul juga menyebabkan kanak-kanak sentiasa berkeadaan bimbang, menimbulkan rasa kecewa, hilang keyakinan diri sendiri bersikap agresif, dan fikiran mereka sering terganggu. Ibu bapa yang garang dan bengis akan membentuk kanak-kanak yang kurang baik perkembangan emosinya seperti membenci terhadap sikap ibu bapa, bosan belajar, dan tidak berminat dalam pelajaran. Di sekolah kanak-kanak dilatih oleh guru mereka untuk berfikir.Mereka dibimbing oleh guru untuk perkembangan fizikal, mental, akhlak, kerohanian, dan sosial yang baik. Sekiranya ibu bapa di rumah membentuk anak-anak bertentangan dengan nilai-nilai di sekolah, maka akan timbullah konflik dalam diri kanak-kanak tersebut. Dalam sesetengah kes pula, mangsa penderaan lebih cenderung bertindak dengan lebih agresif dan mengakibatkan mereka melakukan penderaan terhadap orang lain, sebagaimana yang diperlakukan ke atas dirinya. Apabila emosi mereka terjejas, ini akan menimbulkan kesan yang buruk ke atas perkembangan sahsiah kanak-kanak.
 Langkah – langkah Mengatasi Masalah Penderaan Kanak-kanak
4.1    Mengadakan Kempen “Keluarga Bahagia”
Memandangkan kes penderaan kanak-kanak semakin meningkat, maka masalah ini perlu dibendung dan diatasi dengan segera. Mencegah lebih baik daripada mengubati. Salah satu daripada cara untuk mengatasinya adalah dengan mengadakan kempen “Keluarga Bahagia” bagi menyedarkan ibu bapa tentang tanggungjawab mereka. Semestinya setiap orang mengidam-idamkan keluarga yang bahagia kerana keluarga adalah segala-galanya bagi kita. Tanpa keluarga tercinta hidup pasti tidak bermakna. Sesungguhnya kita memerlukan insan-insan tersayang di samping kita. Jadi, dengan adanya kempen ini sedikit sebanyak boleh mengelakkan daripada berlakunya kes penderaan kanak-kanak.
4.2    Pendidikan Keibubapaan
Dengan adanya pendidikan keibubapaan ini, mereka akan lebih jelas tentang cara- cara untuk mendidik anak- anak dan kaedah untuk melayan suami atau isteri dengan baik. Oleh itu, masalah penderaan anak- anak secara tidak langsung akan dapat dikurangkan. Penderaan kanak- kanak merupakan perbuatan keji yang dilarang keras oleh agama. Hal ini demikian kerana, perbuatan sebegitu seolah-olah bertujuan untuk menjahanamkan aset penting Negara pada masa akan datang dan memusnahkan keturunan kita sendiri. Oleh yang demikian, sayangilah anak- anak dan jauhilah kes penderaan kanak- kanak kerana ia tidak menguntungkan mana- mana pihak.
Seterusnya, sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab seharusnya sudah mengetahui cara- cara hidup berkeluarga dan cara-cara untuk menjaga dan mendidik anak- anak. Untuk menjayakan hal ini, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan adalah sangat penting dijadikan bahan pembelajaran di sekolah kerana setiap perkara yang dipelajari dalam matapelajaran tersebut berkaitan dengan kehidupan yang kita jalani. Kanak-kanak merupakan generasi muda yang akan meneruskan pembangunan negara dan mengharumkan nama negara serta mencapai Wawasan 2020 yang merupakan propaganda mantan perdana menteri yang keempat iaitu Tun Dr. Mahathir. Nilai-nilai moral seharusnya diaplikasikan oleh setiap lapisan masyarakat dalam kehidupan seharian disamping dapat membentuk warganegara yang bertamadun dan bertauliah.
4.3 Semangat Kejiranan Yang Tinggi
Pelbagai pihak telah bersinergi untuk menangani masalah tersebut daripada berlaku, namun tetap menghampakan kerana tidak begitu efektif. Hal ini terbukti apabila penderaan kanak-kanak semakin meningkat dari hari ke hari sehingga tahap yang kritikal. Bagi membendung masalah-masalah seperti ini daripada terus menular dalam kalangan golongan yang tidak bertanggungjawab ini, masyarakat sendiri haruslah memainkan peranan mereka untuk membantu mengatasi gejala-gejala tersebut. Masyarakat haruslah membuang sikap “bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing” dengan mementingkan diri sendiri sehingga mengabaikan keadaan di sekeliling mereka. Oleh sebab itu, masyarakat haruslah menanamkan sikap “jaga tepi kain orang” untuk mengetahui apa yang telah berlaku di sekeliling mereka terutamanya dalam usaha membendung gejala-gejala sosial tersebut daripada berlaku dalam kalangan remaja ataupun muda-mudi pada zaman moden ini. Sementelahan pula, masyarakat haruslah mempunyai semangat kejiranan yang tinggi. Hal ini amat penting bagi mereka untuk saling mengambil berat serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim.Tambahan pula, perpaduan antara masyarakat dapat dikukuhkan lagi. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu membanteras gejala sosial daripada berlaku kerana adanya semangat bersatu-padu dalam kalangan masyarakat.
4.4 Memberi Didikan Yang Sempurna
Selain itu, masyarakat juga haruslah memainkan peranan mereka dalam mendidik anak-anak mereka sejak dari kecil lagi. Bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini amat penting bagi mendidik anak-anak mereka dari kecil supaya dapat membezakan antara kebaikkan dan keburukkan dalam melakukan sesuatu tindakan. Hal ini penting bagi ibu bapa untuk memainkan peranan mereka. Bagi sesiapa yang bergelar ibu dan bapa kepada anak-anak mereka, wajarlah mereka bersikap tegas terhadap anak-anak supaya mereka mempunyai tahap disiplin yang tinggi serta rasa hormat dan taat kepada orang tua tersemai dalam diri mereka. Ibu bapa haruslah memastikan anak-anak mereka tidak terlibat dalam pergaulan sosial yang melampau seperti pergaulan bebas daripada berlaku. Justeru, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mengawal segala aktiviti harian anak-anak mereka dengan lebih ketat. Di samping itu, ibu bapa sendiri haruslah menjadi teladan yang baik kepada anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana remaja mudah terpengaruh dengan faktor persekitarannya. Bak kata pepatah “bagaimana acuan begitulah kuihnya”. Oleh sebab hal yang demikian, ibu bapa haruslah mempunyai pendidikan keagamaan yang kukuh supaya dapat disemaikan dalam diri anak-anak mereka. Pendidikan keagamaan merupakan satu langkah yang terbaik dalam mencegah segala perbuatan negatif yang menyumbang kepada gejala penderaan kanak-kanak akibat kurangnya didikan agama dalam kalangan masyarakat kini.
4.5 Peka dengan Keadaan Sekeliling
Dalam usaha membanteras kes penderaan kanak-kanak daripada berlaku, peranan masyarakat haruslah diutamakan. Masyarakat haruslah sentiasa peka dengan keadaan di sekelilingnya. Jika mendapati terdapat salah seorang jiran yang melakukan penderaan terhadap anak-anak, mereka haruslah segera melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis secepat yang mungkin tanpa mempedulikan ancaman daripada jiran mereka. Selain itu, pengawalan keselamatan di sekeliling kediaman penduduk haruslah diperketatkan. Hal ini amatlah penting bagi memastikan tidak ada seorang pun yang berani mendera kanak-kanak secara sesuka hati serta dapat memastikan kanak-kanak mendapatkan perlindungan daripada didera serta disakiti oleh mana-mana pihak yang tidak bermoral itu. Dalam usaha ini, penduduk setempat sendiri haruslah melakukan rondaan secara bergilir-gilir untuk memastikan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini serta mencurigakan daripada berlaku.
4.6 Menerapkan Nilai-nilai Murni dalam Kehidupan Seharian
Masyarakat haruslah menanamkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian serta amalkan gaya hidup sihat. Masyarakat juga haruslah mempunyai kesedaran yang tinggi tentang natijahnya jika terlibat dengan gejala-gejala negatif seperti gejala penderaan kanak-kanak tetapi sebaliknya masyarakat haruslah melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah yang telah dianjurkan oleh pihak kerajaan mahupun swasta seperti Kempen Membanteras Penderaan Kanak-kanak. Hal ini dapat mendedahkan natijah yang akan diperoleh seandainya terjerumus dengan perbuatan negatif tersebut. Dengan adanya kesedaran yang tinggi, masyarakat secara automatik akan menjauhkan diri daripada terlibat dengan sebarang gejala sosial. Hal ini akan menurunkan kadar gejala penderaan kanak-kanak.
4.7    Penguatkuasaan Undang-undang
Menyedari betapa dahsyatnya masalah ini, langkah-langkah berkesan bagi mengatasinya perlu diketengahkan. Penderaan terhadap kanak-kanak boleh dibendung melalui kuatkuasa undang-undang. Parlimen mesti menggubal rang undang-undang bagi mencegah perbuatan mendera kanak-kanak. Mereka yang bersalah mesti dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman yang berat. Anggota masyarakat sepatutnya berani tampil ke muka pengadilan untuk menjadi saksi. Pesalah-pesalah ini perlu dianggap sebagai penjenayah dan dihukum rotan atau dipenjara. Hanya hukuman seperti ini yang dapat menye- darkan ibu bapa tentang kesalahan mereka. Tanpa hukuman yang berat, penderaan seperti ini akan terus berulang. Di samping itu, hukuman seperti ini juga memberi pengajaran kepada pasangan yang lain supaya tidak mendera anak-anak mereka. Bagi memastikan undang-undang ini berkesan, setiap anggota masyarakat perlu bekerjasama dan melaporkan kes-kes deraan kepada pihak yang berwajib, iaitu pihak polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
4.8 Memberi Didikan Agama Yang Secukupnya
Sehubungan itu, didikan agama juga haruslah dititikberatkan pada zaman yang serba canggih ini. Pasangan yang akan berkahwin diwajibkan menyertai kursus-kursus persediaan untuk berumah tangga. Dalam hubungan ini para ibu bapa pasangan itu perlu memainkan peranan yang penting. Pasangan yang muda ini harus sedar bahawa agama melarang keras ibu bapa menganiayai anak-anak. Perbuatan yang terkutuk ini akan mendapat balasan di akhirat kelak. Pasangan ibu bapa patut menanamkan nilai-nilai agama di dalam jiwa anak-anak. Jika pasangan suami isteri ini beriman dan bertakwa kepada Allah, nescaya gejala ini tidak akan timbul. Pasangan yang hendak berkahwin perlu tahu tuntutan-tuntutan agama dan menjadi pasangan yang saleh. Demikian juga terhadap agama-agama lain, yang penting penganut-penganut agama tersebut perlu menghayati dan memahami agama masing-masing dalam hal berumah tangga. Membina sebuah keluarga yang penyayang dan baik merupakan tuntutan agama. Melalui pegangan agama yang kukuh akan terbina sebuah keluarga yang bahagia. Ibu bapa harus menyedari bahawa anak-anak ialah rahmat daripada Tuhan. Seandainya kita menganiayai anak-anak samalah seperti kita menghancurkan rahmat yang dianugerahkan kepada kita.
4.9 Menghadiri Sesi Bimbingan dan Kaunseling
Satu lagi aspek penting dalam menangani masalah ini adalah melalui sesi bimbingan dan kaunseling. Pasangan yang berhasrat untuk berumah tangga diwajibkan untuk menghadiri sesi-sesi ini. Bimbingan dan kaunseling ini bertujuan untuk menyedarkan mereka akan tanggungjawab selepas berkahwin. Alam perkahwinan atau berkongsi hidup jauh berbeza dengan kehidupan membujang. Hakikat ini harus difahami secara mendalam. Perkara yang lebih utama ialah mereka harus sedar akan kesusahan dan tanggungjawab apabila mempunyai anak. Pendedahan seperti ini perlu agar pasangan yang baru berkahwin lebih bersedia untuk menghadapi sebarang kesulitan. Selain itu, kemampuan dari segi kewangan patut dititikberatkan. Kelas-kelas bimbingan dan kaunseling ini boleh membimbing pasangan untuk menghadapi sebarang masalah. Pasangan yang baru berkahwin juga boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada kaunselor-kaunselor atau pakar-pakar psikologi. Dalam dunia yang serba canggih ini, bimbingan seperti ini sangat perlu dalam menangani penderaan ini.
Kesimpulan
NATIJAHNYA, punca berlakunya kes-kes penganiayaan kanak-kanak ini bermula dari rumah. Ibu bapa sepatutnya membela, memberi naungan dan memelihara hak kanak-kanak bagi menjamin kehidupan mereka yang sempurna. Ibu bapa haruslah berusaha untuk mencurahkan kasih saying dan perhatian yang secukupnya kepada anak-anak di samping menanam sikap saying- menyayangi antara mereka.
Selain itu, semua pihak seperti ibu bapa, guru-guru, kerajaan serta masyarakat juga perlulah bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah ini. Setiap pihak perlulah bergembleng tenaga untuk menyelesaikan masalah ini dan bukannya menuding jari ke arah pihak lain dengan mencari resolusi hingga ke akar umbi supaya gejala buruk ini dapat dibanteras dan dihalang daripada terus membelenggu setiap lapisan masyarakat di negara ini. Bak kata pepatah sikap bagai aur dengan tebing haruslah diamalkan antara satu sama lain. Hal ini penting bagi menjadikan negara kita bebas daripada gejala buruk supaya pembangunan negara tidak terjejas disebabkan oleh segelintir masyarakat yang tidak bermoral ini. Oleh itu, usaha baik yang diambil oleh setiap pihak perlulah dilakukan secara konsisten dan bukanlah sekadar hangat-hangat tahi. Tambahan pula, matlamat negara untuk mencapai Wawasan 2020 akan direalisasikan serta imej negara dipandang tinggi di mata dunia.
Image result for penderaan kanak-kanak 

No comments:

Post a Comment

Johan Tokoh NILAM Daerah Maran (BMSR) -2017 dan

 27 Julai 2017, PKG Bandar Jengka. Sekali lagi anak didikku Muhamad Nazrul (Johan BM SR) Muhammad Hafiz (Naib Johan BM SR). Beliau telah ber...