Maksud
kreatif dan inovatif
Kreativiti merupakan
satu istilah yang telah menjadi tumpuan ramai penyelidik dalam pelbagai bidang
seperti pendidikan, psikologi kognitif, dan lain-lain lagi. Ini adalah
disebabkan kreativiti telah dilihat mempunyai kesan yang besar terhadap
pelbagai aspek kehidupan manusia. Ianya telah diiktiraf sebagai salah satu daripada
mercu tanda pencapaian tertinggi seseorang individu. Istilah kreativiti ini
juga sering dianggap mempunyai perkaitan dengan istilah seperti ‘pemikiran atau
kebolehan kreatif’, ‘penyelesaian masalah’, ‘imaginasi’ ataupun ‘inovasi’ .
Inovasi pula
merupakan satu istilah yang berasal daripada perkataan innovare yang bermaksud
memperbaharui atau melakukan perubahan .Secara mudahnya, inovasi merupakan
suatu proses yang mengubah idea kepada praktis ataupun suatu yang praktikal.
Ini menunjukkan inovasi merupakan satu elemen pemangkin yang merubah satu idea
atau ciptaan itu kepada satu tahap yang lebih baik dan efektif. Idea dan produk
yang kreatif kemudiannya diubah kepada bentuk yang mempunyai nilai ekonomi dan
komersil dikalangan pengguna atau masyarakat. Ini secara jelas menunjukkan
perkaitan reka cipta sebagai pemangkin dalam penjanaan dan penghasilan idea
atau produk yang kreatif serta inovatif.
1.0 PENGENALAN
Pada akhir-akhir
ini, masyarakat yang kreatif dan inovatif amat diperlukan supaya matlamat Modal
Insan dapat dicapai untuk pembangunan negara. Dalam usaha menyediakan tenaga
kerja yang berkualiti untuk mencapai kecemerlangan negara yang berterusan,
mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Abdullah Ahmad Badawi telah membangkitkan
Konsep Modal Insan. Hasrat kerajaan adalah tinggi dalam melahirkan generasi
pelapis yang berkualiti dan berkompeten dalam menerajui negara ke arah kemajuan
yang bakal dicapai terutamanya dalam menghadapi Wawasan 2020. Masyarakat yang
kreatif bermaksud masyarakat yang mempunyai kebolehan mewujudkan sesuatu yang
baharu sama sekali.
Masyarakat yang
inovatif pula bermaksud masyarakat yang memiliki kemampuan untuk menciptakan
sesuatu yang baharu. Sebagai institusi pelajaran, sekolah memainkan peranan
penting dalam melahirkan pelajar yang kompeten, kreatif dan inovatif. Menurut
mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, Malaysia mempunyai sistem
pendidikan yang terbaik dalam kalangan dunia ketiga maka kejayaan yang perlu
dicapai mempunyai kaitan dengan cabaran keenam Wawasan 2020 iaitu mewujudkan
masyarakat yang saintifik dan progresif, masyarakat yang inovatif dan memandang
jauh kehadapan.
- KONSEP PEMIKIRAN KREATIF, INOVATIF DAN
KOMPETEN-
Pemikiran kreatif
dan inovatif dijadikan penguasaan asas ilmu dalam kalangan guru untuk
diterapkan kepada pelajar-pelajar. Definisi pemikiran kreatif dan inovatif
menurut George, 1970 ialah pemikiran sebagai suatu proses penyelesaian masalah
dan perlakuan semulajadi yang kompleks (Edward de Bono,1997). Beliau juga
mengaitkan pemikiran kreatif dan inovatif dengan pemikiran lateral yang membawa
maksud bukan sahaja untuk menyelesaikan masalah, malahan juga berfikir untuk
melihat sesuatu berdasarkan pelbagai perspektif bagi menyelesaikan masalah.
pemikiran kreatif dan inovatif yang dikembangkan dan perlu dikuasai oleh
pelajar ialah pemikiran secara kritis dan kreatif. Poh Swee Hiang (1999)
menyatakan pemikiran keatif amat penting untuk membentuk warganegara yang tahu
dan mampu menggunakan pemikiran mereka dalam menghadapi pelbagai cabaran, tekanan
dan perubahan manakala pemikiran inovatif dapat membentuk individu agar
mempunyai daya kreativiti yang baik, ideal, imaginatif dan mempunyai
unsur-unsur humanistik dan artistik yang tinggi.
Apabila kedua-dua
kemahiran ini dikuasai oleh pelajar melalui rangsangan dan latihan yang diberi
seterusnya pelajar mengaplikasikan dalam corak pembelajaran harian maka
pembelajaran yang optimum akan berlaku. Kompeten bermaksud pengetahuan,
kemahiran dan sikap yang dimiliki oleh seseorang pelajar untuk meningkatkan kualiti
pencapaian pendidikan. Kompeten merupakan satu keperluan yang standard bagi
seseorang pelajar mencapai hasil peresekolahannya seperti dapat bersaing secara
positif dengan rakan-rakan pelajar dan mereka hendaklah bernilai marketable dan
employable apabila mereka meninggalkan bangku sekolah. (Ainon Muhammad, 1996)
Untuk merangsang
daya kreativiti murid, sistem pendidikan di negara kita perlu menekankan aspek
percambahan idea dalam kalangan murid. Pembelajaran dalam bilik darjah perlu
menjadi medan di mana murid-murid dapat mengemukakan idea-idea yang bernas dan
seterusnya berkongsi idea ini dengan rakan-rakan yang lain untuk menghasilkan
sesuatu yang bermanfaat. Percambahan idea ini boleh dirangsang mealui
pendekatan pembelajaran berasaskan penyelesaian masalah atau problem-based
learning. Sebagai contoh, seorang guru yang kreatif boleh meminta murid untuk
bekerja dalam beberapa kumpulan kecil untuk menyelesaikan sesuatu masalah di
sekolah.
Sekolah saya
sering menghadapi masalah pembuangan sampah yang menjejaskan persekitaran dan
suasana pembelajaran di sekolah. Perkara pertama yang perlu saya buat ialah
mengenal pasti apakah punca yang menyebabkan masalah tersebut. Setelah menemui
puncanya, saya boleh menggalakkan pelajar mengemukakan pelbagai idea untuk
menyelesaikan masalah yang dihadapi. Mereka boleh berbincang mengenai perkara
ini, membuat persembahan kepada kelas mengenai saranan penyelesaian masalah,
dan seterusnya memilih saranan yang terbaik bagi mengatasi masalah yang
dihadapi. Mungkin mereka akan mengemukakan kaedah baharu seperti pengurusan
pembersihan sekolah, pemberian insentif kepada murid atau kelas yang paling
bersih, atau mencipta alat baharu yang boleh mengatasi masalah pembuangan
sampah di sekolah. Aktiviti ini melibatkan beberapa proses pembelajaran penting
seperti pencarian fakta (fact finding), pencarian punca masalah (problem
finding), pencarian idea (idea-finding) dan akhirnya penemuan penyelesaian
(solution finding) yang kesemuanya merangsang daya kreativiti murid.
Kesimpulannya,
sekolah sebagai organisasi hendaklah memberikan peluang kepada pelajar untuk
mencambahkan idea mereka. Dengan percambahan idea, pelajar yang berfikiran
kreatif, kompeten dan inovatif dapat dilahirkan.
- KAEDAH CUNGKIL
BIJAK
Saya sebagai guru
telah memperkenalkan satu kaedah yang bernama Cungkil Bijak dalam Pengajaran
dan Pembelajaran Pengajian Am. Kaedah ini lebih berpusatkan pelajar. Aktiviti
sambil belajar seperti eksperimen, perbincangan, simulasi, lawatan,
penyelesaian masalah, penggunaan sumber luar bilik darjah dan penggunaan
teknologi dalam ICT bukan sahaja dapat melahirkan pelajar yang kreatif, tetapi
juga inovatif. Saya telah memperkenalkan beberapa aktiviti baru termasuklah
program ‘Cungkil Bijak’ ini untuk menarik minat para pelajar dalam tajuk
Kenegaraan. Cungkil Bijak merupakan satu kaedah kuiz. Pelajar dibahagiakn
kepada dua kumpulan dan diadakan duga akal.
Sebelum mengambil
bahagian dalam program ini, pelajar didapati menyediakan pelbagai teknik
mengambil nota dan menyimpan nota untuk menajwab soalan-soalan tersebut.
Biasanya pelajar saya lemah menguasai istilah dan fakta mengenai perundangan,
kehakiman dan pentadbiran Malaysia. Selepas diadakan program Cungkil Bijak ini
pelajar dapat menjawab soalan-soalan yang dikemukakan dengan yakin dan betul.
Kreativiti mereka adalah dalam cara penyediaan nota dan inovasi pula mereka
ialah dalam mereka bentuk satu teknik baharu yang belum digunakan oleh
mana-mana pelajar yang lain di sekolah saya.
Kesimpulannya,
kaedah Cungkil Bijak ini telah mendorong pelajar saya lebih kreatif dan
inovatif dalam penyediaan dan penyampaian buah fikiran. Malah saya telah
mendapati prestasi mereka juga telah meningkat khususnya topik yang diajarkan.
- - KAEDAH
PENYELESAIAN MASALAH
Kreativiti dan inovasi dalam kalangan pelajar
juga boleh dipupuk dalam pelaksanaan pembelajaran dalam kumpulan. Setiap
pelajar mempunyai daya imiginasi yang tersendiri dalam melihat sesuatu secara
berlainan. Pembelajaran dalam kumpulan dapat memupuk para pelajar untuk
berfikiran secara terbuka atau berfikir di luar kotak serta secara analitikal,
kritikal dan praktikal. Apabila saya memberikan pelajar sesuatu situasi untuk
diselesaikannya, pelajar-pelajar melihat masalah itu dari pelbagai perspektif.
Sebagai contoh pelajar aliran sastera melihat
dari aspek kualitatif manakala pelajar aliran sains saya pula melihat dari
perspektif kuantitatif. Bagaimanapun kedua-dua golongan ini melihat sesuatu
masalah yang diberikan secara alitikal, praktikal dan pragmatik. Hal ini akan
mendorong –pelajar pelajar saya untuk melihat sesuatu perkara itu sebagai
peluang yang boleh mencetuskan idea baharu. Mereka juga terpaksa menggunakan
minda yang kreatif untuk menemukan perspektif yang baru dalam penyelesaian
masalah.
Dalam bilik darjah, saya sentiasa memastikan
penggunaan bahan pengajaran dan pembelajaran. Setiap bahan yang digunakan
merangkumi sifat-sifat, kelebihan dan kekurangan bahan yang digunakan dalam
pembelajaran. Hal ini memerlukan pelajar bijak membezakan setiap bahan yang
digunakan. Oleh itu kebolehan membandingkan dan membezakan dalam bab Kehakiman
umpamanya amat diperlukan di samping penyelesaian masalah yang diberi. Tajuk
Kehakiman yang merangkumi fungsi dan bidang kuasa mahkamah dan hakim contohnya
lebih menjurus kepada soalan penyelesaian masalah yang dikemukakan berdasarkan
situasi-situasi. Hal ini selaras dengan Sukatan Pelajaran Pengajian Am yang
menuntut pelajar supaya mentakrifkan mahkamah dan bidang kuasanya dengan tepat
sebelum menyelesaikan masalah kehakiman yang diberi.
Pelajar perlu memikirkan beberapa alternatif
dan menentukan pilihan yang terbaik semasa menyelesaikan masalah dengan
mengambil kira perkara-perkara penting kemudian menentukan keutamaan untuk
menyelesaikan masalah.Penggunaan model kreatif dan inovasi akan membantu
pelajar dalam cara belajar bab ini dengan lebih berkesan. Pelajar yang
mengaplikasikan model ini dalam pembelajaran bab Kehakiman telah memahami
bahawa kemahiran berfikir yang efektif perlu digunakan dalam menyelesaikan
masalah kerana penyelesaian masalah Kehakiman juga sebagai proses kemahiran
berfikir. Saya berpendapat bahawa penggunaan kaedah pemikiran kreatif dan
inovasi dalam menyelesaikan masalah yang digunakan dalam pembelajaran, pelajar
diharapkan menjadi seorang penyelesai masalah yang baik sama ada di dalam dan
di luar sekolah.
Kesimpulannya, kaedah penyelesaian masalah ini
bukan sahaja telah berjaya merungkaikan segala kesulitan pelajar dalam
pelajaran malah dapat membantu pelajar apabila mereka dewasa nanti.
- PENGGUNAAN PETA MINDA DAN GRAFIK
Untuk memantapkan penggunaan kreatif dan
inovasi dalam bilik darjah, saya menggalakkan pelajar saya menggunakan
alat-alat berfikir seperti peta minda dan untuk membantu mereka dalam memahami
fakta-fakta dalam bab Perundangan dengan lebih mudah. Pelajar-pelajar
digalakkan untuk mencatat nota dengan menggunakan peta minda. Hal ini adalah
selaras dengan Abd.Rahim (1999) dan Buzan (1984) iaitu bagi meningkatkan daya
ingatan, taakulan dan perkembangan pemikiran dalam sesuatu pembelajaran, konsep
pemetaan minda boleh diketengahkan. Perundangan merupakan satu bab untuk
pelajar memahami proses pembinaan ingatan yang bermula dari tajuk-tajuk kecil
hinggalah tajuk-tajuk yang lebih rumit.
Setiap proses yang dinyatakan dalam bab ini
memerlukan kemahiran berfikir pelajar untuk membezakan setiap aras perundangan
seperti perundangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Oleh yang demikian
untuk mengelakkan pelajar-pelajar keliru dengan setiap proses yang dinyatakan,
pelajar boleh menggunakan model pemikiran kreatif dan inovatif untuk bab ini.
Teknik berfikir melalui operasi meta kognitif ini akan membantu individu
menjana pemikiran secara kreatif dan kritis melalui peta minda dan penggunaan
grafik.
Selain itu peta minda yang lain adalah seperti
‘relevance tree’. Saya akan memecahkan sesuatu tajuk utama kepada sub-tajuknya.
Contoh yang biasa saya gunakan ialah Carta Organisasi sesebuah pertubuhan
seperti Hierarki Kerajaan Pesekutuan Malaysia. Struktur organisasi ini dapat
difahami dengan lebih jelas lagi dengan adanya pertalian ‘line’ dan ‘staff’.
Biasanya garisan biasa menunjukkan tanggunjgawab langsung kepada matlamat
organisasi manakala garisan berputus-putus menunjukkan fungis staf yang
berperanan menyokong dan menasihati ahli organisasi yang lain. Satu lagi bentuk
peta minda yang saya gunakan untuk menggalakkan pelajar saya berfikir secara
kreatif dan inovasi ialah rajah tulang ikan. Rajah ini biasanya saya gunakan
untuk meneliti sebab dan punca masalah sesuatu proses atau organisasi. Teknik
ini sangat diutamakan khususnya apabila saya mengajar tajuk-tajuk esei dalam
kelas saya.
Kesimpulannya, penggunaan peta minda dan
grafik seperti rajah, gambar rajah dan pelbagai bentuk visual lain mendorong
pelajar saya berfikir secara lebih terbuka, kreatif dan inovatif
- PENGGUNAAN TEKNIK GLUKOSA
Seperti yang diketahui umum, GLUKOSA
diperlukan untuk menghasilkan tenaga
bagi metabolisme hayat. Saya telah
menterjemahkan ini dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah untuk
menghasilkan idea-idea baharu. GLUKOSA yang diertikan adalah seperti berikut:
G – ganti atau gabung
L – lebihkan (diperbanyakkan dari segi
kuantiti sesuatu unsur)
U – ubahsuai (ubah warna, bentuk, proses,
rasa, bau, bunyi dan lain-lain)
K – kurangkan (diperkecilkan dari segi
kuantiti sesuatu unsur)
O – olakkan (diulang-ulang, diputar, dikisar
dan dipusingkan)
S – songsangkan (diterbalikkan dari segi masa,
proses, arah dan lain-lain)
A – aplikasi atau adaptasi.
Untuk menghasilkan rekaan baharu, saya telah
menggunakan GLUKOSA untuk meneliti sesuatu benda atau idea yang sedia ada.
Teknik ini telah saya gunakan secara sengaja dan dijadikan sebagai suatu
kebiasaan berfikir. GLUKOSA ini merupakan satu senarai semak (check list)
Senarai semak ini telah diperluas lagi dan tidak rigid. Untuk memudahkan
aplikasinya di bilik darjah maka suatu bentuk penyusun grafik dicadangkan.
Pelajar-pelajar diminta mengisi item yang
dipelajari di ruang pertama. Selepas itu mereka dikehendaki nyatakan sebarang
kemungkinan, akibat atau kesan yang berlaku terhadap item yang ditulisnya tadi
di ruang ketiga. Selepas pelajar berfikir, sudah tentu dia akan memperoleh satu
idea baharu. Jadi idea baharu itu akan ditulis di ruang Kesimpulannya, kaedah
GLUKOSA amat sesuai bagi guru-guru bahasa yang perlu mengajar tajuk-tajuk
karangan, rumusan, ringkasan dan karangan berpandu.
-KAEDAH KEMAHIRAN KOGNITIF DAN INKUIRI
Salah satu matlamat dalam Sukatan Pelajaran
Pengajian Am ialah pelajar dapat memikirkan sesuatu dengan kritis dan kreatif
sesuai dengan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama. Dalam hali
ini saya sebagai guru memberi tumpuan terhadap ketrampilan berbahasa yang dapat
mendidik pelajar agar bertutur, cekap membaca dan dapat menulis dengan kreatif.
Matlamat ini dapat dicapai melalui penghasilan karangan yang melibatkan
hubungan pemikiran dan peluahan dalam bentuk tulisan. Menurut Mohd. Yusuf
Hassan (1994), penulisan karangan adalah hubungan antara keupayaan pelajar
berfikir dengan domain kognitif di samping domain afektif dan psikomotor.
Dalam konteks pengajaran karangan, saya
menggalakkan pelajar menulis rangka-rangka karangan sebelum memindahkannya
dalam bentuk karangan lengkap. Beberapa kumpulan diwujudkan dan setiap ahli
kumpulan digalakkan memberi pendapat mengenai tajuk yang bakal ditulis oleh
mereka. Sokongan bahan bantu mengajar seperti keratan akhbar, rencana
elektronik dan power point akan melahirkan pemikiran pelajar yang positif,
kreatif dan inovatif. Penghasilan karangan oleh pelajar mempamerkan kemahiran
berfikir setelah melalui pendedahan kemahiran berfikir setelah melihat, membaca
dan menghayati bahan-bahan pengajaran yang telah saya sediakan sepanjang tempoh
pengajaran karangan tersebut.
Dalam memupuk kemahiran berfikir secara
kreatif dan inovasi saya mengesyorkan Model Inkuiri dalam bilik darjah. Model
Inkuiri ini merangkumi segala proses soal selidik untuk mendapatkan jawapan
atau kesimpulan daripada soalan, atau daripada masalah yang dikemukakan. Saya
menjalankan aktiviti soal selidik ini supaya pelajar saya dapat mengenal pasti
soalan bermasalah, membentuk hipotesis, merancang aktiviti kajian, manjalankan
kajian atau siasatan dan seterusnya mendapatkan jawapan dan membuat rumusan.
Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, saya menggunakan dua jenis teknik
inkuiri iaitu ‘inkuiri terbimbing’ dan ‘inkuiri terbuka’. Dalam Inkuiri
terbimbing, saya telah membimbing pelajar menjalankan segala proses kajian.
Kesimpulannya, kemahiran
kognitif dan inkuiri membantu pelajar dapat menulis esei yang lebih berkualiti,
berfikir secara logik, boleh memuatkan atau mengisi buah fikiran di lokasi yang
sesuai dalam wacana penulisan atau lisan. Tanpa kemhiran kognitif pelajar tidak
dapat memikir.
Pihak yang
berperanan
Tugas ini seterusnya perlu dipikul oleh ibu
bapa. Semasa anak-anak mereka masih kecil, ibu bapa perlu membeli alat-alat
mainan yang boleh mengembangkan kemahiran kreatif dan inovatif anak mereka.
Permainan seperti Lego amat sesuai untuk kanak-kanak. Dengan menggunakan
bongkah-bongkah plastik ini, kanak-kanak boleh menghasilkan pelbagai bentuk
termasuk bangunan, robot, dan sebagainya. Kata peribahasa melentur buluh
biarlah dari rebungnya. Oleh itu, ibu bapa perlu menerapkan unsur kreativiti
dan inovasi dalam diri anak mereka sejak mereka kanak-kanak lagi.
Seterusnya, kerajaan memainkan peranan yang
penting. Dalam hal ini, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah
mengadakan Karnival Malaysia Inovatif 2010 di seluruh negara yang bertemakan
“Meraikan Kreativiti”. Karnival ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran
mengenai kepentingan pemikiran yang kreatif dan memupuk budaya inovasi dalam
kalangan rakyat di negara ini. Kumpulan sasaran meliputi semua lapisan
masyarakat iaitu golongan OKU, wanita, belia, pelajar-pelajar sekolah, komuniti,
penduduk bandar dan luar bandar, penyelidik, badan bukan kerajaan dan pihak
swasta. Tindakan MOSTI ini amat dialau-alukan oleh semua pihak. Walau
bagaimanapun, adalah harapan semoga usaha seumpama ini dapat dijalankan secara
berterusan dan jangan bersifat hangat-hangat tahi ayam.
Pihak swasta khususnya sektor perindustrian
juga perlu berganding bahu dengan kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang
kreatif dan inovatif. Usaha untuk melahirkan masyarakat yang kreatif dan
inovatif menuntut rakyat kita supaya terlibat dalam penyelidikan dan
pembangunan (R&D). Oleh itu, sektor swasta harus menggiatkan penyelidikan
dan pembangunan dalam kalangan kaki tangan mereka. Sejumlah wang sepatutnya
diperuntukkan untuk penyelidikan dan pembangunan. Sebagai contoh, durian tidak
dapat dieksport ke Singapura kerana faktor pencemaran.
MARDI telah menjalankan penyelidikan dan
pembangunan ke atas durian dan akhirnya para penyelidik berjaya menghasilkan
serbuk durian yang boleh dibungkus dan dieksport bukan sahaja ke Singapura malah
ke luar negara. Pengguna hanya perlu mencampurkan serbuk durian dengan air dan
mereka dapat menikmati durian. Serbuk ini pula boleh tahan dalam tempoh masa
yang lama. Oleh itu, pihak swasta perlu mencontohi MARDI dalam menghasilkan
barangan yang berkreatif dan inovatif. Kata peribahasa hendak seribu daya, tak
hendak seribu dalih.
Akhir sekali, kita tidak boleh menidakkan
peranan para pendidik dalam melahirkan masyarakat yang kreatif dan inovatif.
Sehubungan dengan hal ini, para pendidik di seluruh negara sama ada di
peringkat sekolah rendah, sekolah menengah atau Institusi Pendidikan Tinggi
Awam (IPTA) mahupun Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), termasuk kolej
dan institusi kemahiran harus menghadapi pelbagai cabaran. Cabaran pertama
ialah mempertingkat profesionalisme. Para pendidik harus sedar tentang tugas
dan amanah yang dipikul untuk mendidik generasi yang akan mencapai wawasan
negara. Seterusnya, suatu anjakan paradigma dapat dilakukan oleh para pendidik.
Cabaran kedua ialah kemahiran dalam penggunaan Teknologi Maklumat dan
Komunikasi (ICT). Pembestarian sekolah dan Schoolnet hendaklah dihargai dengan
menggunakan segala kemudahan semaksimum mungkin untuk melahirkan insan yang
kreatif dan inovatif. Cabaran ketiga ialah budaya fikir dan berakhlak. Pendidik
yang berpengetahuan perlu serba tahu dengan menambah pembacaan untuk
peningkatan ilmu serta dapat membawa isu-isu semasa untuk dibincang dan mencari
penyelesaian berkaitan kekeluargaan, komuniti, ekonomi dan sebagainya untuk
mencari penyelesaian. Oleh itu, pendidik yang berpengetahuan dapat melahirkan
generasi anak didik yang cemerlang yang boleh berfikir secara kritis dan
berinovasi dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
Intihanya, semua pihak hendaklah bekerjasama
dalam usaha melahirkan masyarakat yang kritis, kreatif dan inovatif dalam
menghadapi pelbagai cabaran baru serta peka kepada kepedulian sosial, keadilan
sejagat dan solidariti antarabangsa. Kata peribahasa bukit sama didaki, lurah
sama dituruni. Kita perlu ingat bahawa generasi muda hari ini perlu mempunyai
daya saing untuk berhadapan dengan globalisasi dan seterusnya negara kita dapat
berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju.
No comments:
Post a Comment